DISEMBER 2022

Pelantikan Menteri GPS Tepat


KUCHING: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik lima wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kabinet Kerajaan Perpaduan adalah keputusan tepat dan sesuai bagi Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya jawatan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof yang turut memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

“Ini kerana Sarawak dijangka menjadi pengeluar minyak sawit terbesar negara dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Kejohanan Badminton Piala Abang Jo 2022 dan perasmian Dewan Persatuan Badminton Sarawak (SBA) di Jalan Lapangan Terbang di sini.

Abang Johari berkata, komoditi baharu di Sarawak kini adalah karbon dan hidrogen dan ini bermakna Kerajaan Persekutuan boleh membantu perniagaan ini di peringkat antarabangsa.

Sementara, Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Kerja Raya dapat memastikan program infrastruktur luar bandar terus ditingkatkan. 

Tiga lagi wakil GPS dilantik ialah Dato Sri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Sumber dari : Jiwa Bakti